Kerjaya muzik Shima (penyanyi)

1989-1990: Sejarah awal

Kerjaya Shima sebagai seorang penyanyi bermula dengan kumpulan Shima and The Boys menggantikan penyanyi asal kumpulan itu iaitu Ella, sebelum mengorak langkah sebagai penyanyi solo dengan album Shima. Album sulung Shima yang diterbitkan oleh Sani, Usop dan Siso pada tahun 1990 itu telah menaikkan nama Shima sebaris dengan dengan puteri-puteri rock yang lain. Lagu Di Sebalik Sejuta Wajah ciptaan Umarul (Iklim) ini sebenarnya begitu popular pada masa itu hingga menaikkan nama Shima antara sebagai penyanyi wanita baru yang popular waktu itu.

Kisah Shima bukan habis setakat itu, malah selepas kemunculan pertamanya bersama kumpulan itu, muncul pula gosip kononnya Shima bergaduh dengan Ella gara-gara The Boys. Populariti yang dikecapi bukan sahaja telah mencatatkan sejarah dalam diari Shima sebagai anak seni, malah ia juga telah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat Ella & The Boys ketika itu.

Sedari awal Shima tahu apabila muncul bersama The Boys ramai yang menganggap dia merampas kumpulan itu daripada Ella. Tetapi sebenarnya, The Boys menawarkan beliau yang ketika itu menyanyi di sebuah kelab di Kelang untuk menjadi penyanyi utama. Selain Shima, Bibiyana Layola Lee juga pernah menjadi penyanyi The Boys ketika itu.

Hakikatnya, jodoh Shima bersama The Boys hanya bertahan untuk satu album sahaja. Shima kemudian meninggalkan The Boys untuk meneruskan karier secara solo dan masih mendapat sokongan daripada The Boys sendiri.

1990-1996: Setelah Aku Kau Miliki dan kemuncak kerjaya

Shima ketika bersama The Boys. Dibelakangnya (berdiri 3 dari kiri) ialah bekas suaminya, keyboardist Satiman

Karier nyanyian Shima mencapai puncak kegemilangan apabila berjaya memenangai tempat kedua di Anugerah Juara Lagu edisi 1991 menerusi lagu Setelah Aku Kau Miliki petikan album kedua beliau. Lagu ciptaan Saari Amri itu juga berjaya memberi tuah kepada Shima apabila turut memenangi anugerah persembahan terbaik. Sejak itu, Shima menerusi syarikat rakaman Sony Music merencana projek untuk album ketiga yang lebih baik. Ternyata album Shima 3: Teringin itu berjaya meledak di pasaran dan lagu Teringin menjadi siulan anak muda. Lagu itu layak ke Anugerah Juara Lagu 1993, biarpun tewas di tangan Fauziah Latiff, Shima menebus kekecewaan apabila memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik yang pertama kali diadakan juga memenangi pertandingan Pujaan 10 Nescafe 1993 kategori persembahan solo terbaik dengan lagu Teringin.

Sony Music memberi peluang untuk Shima mencuba pelbagai jenis genre muzik menerusi penerbitan album More Than Your Girl pada hujung tahun 1993. Album berbahasa Inggeris itu berjaya meletakkan Shima sebagai penyanyi versatil. Tidak cukup dengan itu, Shima mencuba bakat dalam lakonan menerusi filem Sutera Putih. Ini bukan kali pertama beliau berlakon kerana sebelum itu pernah mencuba bakat dalam filem Red Hair Tumble in Malaya dan Kelisa.

Selepas itu Shima muncul semula dengan album Luka Dilukai pada tahun 1994. Album ini terus mengembalikan Shima sebagai seorang penyanyi wanita yang sangat popular di era 90an sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff, Ella, Noraniza Idris, Aishah, Mas Idayu, Sheila Majid, Amelina, Amy Mastura dan Ramlah Ram. Disamping itu, Shima turut mewakili Malaysia bagi program Asia Live Special di Shanghai pada tahun 1996, anjuran NHK dan OTV.

1997-1999: Rasa dan Aku Tetap Aku

Wajah-wajah Shima di zaman kemuncaknya

Album kelima berjudul Rasa diterbitkan hampir 2 tahun setelah kejayaan Luka Dilukai. Pada tahun 1997 ketika itu, Shima terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi baru yang mula menonjol seperti Nora, Siti Nurhaliza dan Liza Hanim. Biarpun sedikit tenggelam, jualan album Shima masih memberangsangkan malahan lagu Apaku Rasa berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 1997.

Sejak itu, karier nyanyian Shima menjadi sedikit 'low profile' setelah berumahtangga buat kali kedua. Shima bekerjasama dengan Hattan dan Fauzi Marzuki untuk album keenamnya yang berjudul Aku Tetap Aku. Kemunculan album ini disambut baik peminat, lagu Aku Tetap Aku berjaya menjuarai carta radio biarpun album kali ini berkonsepkan pop yang mana Shima menghilangkan terus bunyian rock dalam nyanyian beliau.

1999-2008: Bersara dari arena mainstream dan Ke Pangkuanmu

Sejak membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu 1999 untuk lagu Aku Tetap Aku, Shima mengambil keputusan untuk berehat seketika dari arena nyanyian mainstream. Shima bercuti agak lama tanpa album terbaru. Sepanjang tempoh itu Shima banyak menyanyi di hotel-hotel. Lagu Mohon Diri yang diterbitkan dalam album kompilasi beliau sementara menanti buah tangan baharu.

Pada tahun 2006, Shima menerima pelawaan dari lagenda rock Ramli Sarip untuk menyumbangkan suara dalam album Ruh Zaman. Dalam album itu mereka tampil berduet dalam lagu nyanyian asal Jay Jay dan Dayangku Intan yang berjudul Kita Insan Biasa. Hanya pada tahun 2007, Shima menerima lamaran EMI Music (M) untuk kembali merakamkan suara. Album Ke Pangkuanmu menjadi album terakhir Shima setakat ini. Album ini bagaimanapun tidak mendapat publisiti meluas biarpun beberapa single nya popular menerusi program drama TV (sebagai lagu tema). Shima dikatakan kecewa kerana stesen radio mengamalkan sikap pilih bulu dalam menyiarkan lagu-lagu penyanyi lama sepertinya.

Hingga kini, Shima telah melahirkan 8 buah album solo (tidak termasuk 1 buah album bersama The Boys), 4 buah album kompilasi dan sebuah album runut bunyi. Beliau menjadi salah seorang penyanyi wanita yang sangat masyhur pada era 90an dan berbekalkan bakat, personaliti dan auranya sebagai diva, Shima ternyata menjadi best kept secret dalam industri muzik Malaysia.